Kehidupan awal Sharifah Hanim

Beliau diputerikan di Bandar Diraja Arau, Perlis pada 1935 daripada bondanya, Sharifah Amina binti Syed Abbas Al-Sagoff yang merupakan isteri ketiga kepada Tuanku Syed Hamzah Jamalullail. Beliau mendapat pendidikan di Kolej Sultan Abdul Hamid sehingga peringkat Senior Cambridge. Beliau juga pernah bertugas sebagai juruhebah sambilan di Radio Malaysia dan juga sebagai operator telefon di Bank Negara Malaysia.[2] Beliau juga merupakan juara pertandingan Ratu UMNO pada tahun 1956.[2][5]

Perkahwinan dan kerjaya

Beliau pernah mendirikan rumahtangga pada tahun 1957 dengan Jazamudin Baharuddin yang merupakan seorang penulis dengan nama pena, Adi Muara. Hasil daripada perkahwinan ini, beliau dan suami telah dikurniakan dua orang cahaya mata perempuan iaitu Sulasteri dan Sita Asma. Suami beliau telah memperkenalkannya kepada dunia perfileman dan filem Masam-Masam Manis merupakan kemuncak populariti beliau dalam industri perfileman Melayu pada tahun 1965. P. Ramlee sendiri telah mendapatkan kebenaran daripada pihak Istana Perlis sebelum beliau memulakan pengambaran filem berkenaan. Jodoh beliau bersama suaminya tidak berpanjangan dan pada tahun 1974, mereka bercerai. Penglibatan beliau dalam dunia lakonan agak terhad kerana beliau lebih menumpukan perhatian terhadap anak-anaknya. Selepas penutupan Studio Merdeka, beliau berhenti berlakon dan menceburkan diri dalam bidang perniagaan.[2][3]

Kematian

Beliau mangkat di Kuala Lumpur akibat masalah kencing manis, darah tinggi[2][6] dan hati dalam usia 69 tahun. Setelah dua bulan gering, beliau mangkat pada tahun 2003. Sebelumnya, beliau pernah menderita masalah tulang pinggul akibat terjatuh. Jenazah beliau telah dibawa ke Perlis dan dimakamkan di Makam Diraja Lama Arau.[2]